restoran hindu naik harga

Roti canai, teh tarik restoran India naik 20%

KUALA LUMPUR 12 Mac – Makanan dan minuman termasuk roti canai dan teh tarik di lebih 2,000 restoran India di seluruh negara dinaikkan sebanyak 10 hingga 20 peratus berkuatkuasa hari ini.

Di bawah harga baru itu, sekeping roti canai dan segelas Milo ais di ibu negara masing-masing dijual pada harga 90 sen dan RM2.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Datuk R. Ramalingam Pillai, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi restoran yang semakin meningkat.

Bagaimanapun katanya, walaupun harga baru itu dikuatkuasakan hari ini, pihak persatuan akan membawa perkara tersebut untuk pengetahuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata, jika kementerian tidak bersetuju, Primas akan meneruskan juga langkah tersebut.

‘‘Ini kerana sewa dan kos operasi semakin meningkat, sewa sebuah premis restoran dua tingkat di ibu negara mencecah RM25,000 sebulan.

‘‘Kita juga menghadapi persaingan sengit daripada penjaja di tepi jalan termasuk mereka yang beroperasi secara haram,’’ katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat agung tahunan Primas di sini hari ini.

Kata Ramalingam, tiga jenis senarai harga akan diperkenalkan mengikut klasifikasi pihak berkuasa tempatan iaitu Bandar Raya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Menurut R. Ramalingam, senarai harga yang dilancarkan hari ini itu telah mendapat mandat daripada ahli-ahli Primas.

Mengikut papan tanda harga baru yang dilancarkan persatuan itu hari ini, sekeping roti canai dijual pada harga 90 sen, 80 sen dan 70 sen mengikut kategori bandar raya, bandar dan daerah.

Secawan teh tarik ais pula dijual RM1.50, RM1.30 dan RM1.20 manakala segelas Milo ais dengan harga RM2.00, RM1.80 dan RM1.60.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak akan mengikut jejak Primas menaikkan harga makanan dan minuman hari ini.

Presidennya, Jamarul Khan Kader ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengkaji senarai harga baru itu terlebih dahulu.

‘‘Sehingga kini kami kekalkan harga lama.

‘‘Bagaimanapun adalah tidak mustahil untuk kami mengikut jejak PRIMAS memperkenalkan harga baru mengikut klasifikasi bandar raya, bandar dan daerah,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm