20 peratus madu lebah dalam pasaran di negara ini disahkan asli

Hanya 20 peratus madu lebah asli dalam pasaran

ALOR STAR 24 April – Hanya 20 peratus madu lebah dalam pasaran di negara ini disahkan asli, manakala selebihnya adalah madu campuran dan diimport yang belum diketahui ketulenannya.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, walaupun madu lebah dikaitkan dengan pelbagai khasiat kesihatan, ketulenannya juga amat penting bagi memastikan ia benar-benar berkesan.

Jika tidak asli, katanya, madu lebah yang dicampur dengan gula atau bahan sintetik berkaitan mungkin mempunyai kandungan gula terlalu tinggi sehingga boleh memudaratkan penggunanya terutama mereka yang berpenyakit kencing manis.

‘‘Pasaran madu lebah asli di negara ini masih besar dan sebab itulah FAMA perlu mengambil peluang ini untuk mempromosikan madu lebah asli tempatan,” katanya kepada para pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kepenggunaan Madu Lebah Asli Kebangsaan anjuran FAMA, di sini hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, negara mengimport kira-kira 67,000 kilogram madu lebah dengan nilai RM887,000 tahun lalu sedangkan eksport madu lebah tempatan hanya bernilai kira-kira RM24,000