Tikam mekanik lambat baiki motosikal

KUALA TERENGGANU: Gara-gara terlalu marah kerana motosikal dihantar ke sebuah bengkel di Kampung Kuala Belara, di sini, tidak dibaiki, seorang lelaki mengamuk dan menikam seorang mekanik muda, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek dikatakan pergi ke bengkel berkenaan dan berang apabila melihat motosikalnya yang dihantar belum dibaiki.

Berikutan itu, suspek dikatakan terus mencari mangsa yang sedang tidur seorang diri di rumahnya lalu terus mengeluarkan sebilah pisau dan menikam lengan kanan serta kaki kiri mangsa.

Ketika kejadian, mangsa, Norhisham Ali, 13, yang sudah tidak bersekolah dikatakan sedang tidur di ruang tamu ketika suspek datang menyerang sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Menurut kakak ipar mangsa yang berusia 36 tahun, suspek dikatakan begitu marah apabila mendapati motosikalnya yang dihantar tiga hari lalu masih belum dibaiki.

“Saya kemudian membawa adik ipar ke HSNZ untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Wanita itu membuat laporan kejadian itu di pondok polis HSNZ, kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Manan Alwi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian itu dan sedang mengesan suspek yang dipercayai berasal dari kampung sama.

http://www.hmetro.com.my/Monday/Setempat/71527/Article/print_html