Daging perisa wain

Daging perisa wain
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Memeranjatkan apabila sebuah syarikat katering terkenal yang kerap mendapat tempahan daripada pelanggan elit, termasuk bergelar Datuk dan Tan Sri, dikesan mencampurkan pelbagai jenis wain dalam masakan seperti hidangan ayam dan daging bagi menambah keenakannya.

Syarikat itu yang mendakwa mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipercayai menggunakan pelbagai jenis wain dari China sebagai sebahagian resipi utama untuk memerap ayam dan daging.

Syarikat terbabit memperdaya pelanggan dengan berselindung di sebalik logo halal Jakim palsu yang dibeli daripada sindiket pada harga RM2,500.

Kegiatan itu dibongkar apabila sepasukan empat pegawai penguat kuasa Jakim dan dua pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, melakukan serbuan mengejut di kedai terbabit di Jalan Klang Lama di sini, pagi semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, pegawai Jakim dan KPDNHEP Wilayah Persekutuan memasuki kedai dua tingkat itu yang dijadikan pusat penyediaan bahan mentah dan memasak makanan yang ditempah pelanggan.

[Ad]

Sumber KPDNHEP berkata, ketika serbuan, beberapa pekerja bukan Islam, termasuk wanita warga asing sedang sibuk memasak pelbagai masakan di tempat yang kotor dan menjijikkan.

Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai Jakim turut mendapati tiga lori milik syarikat terbabit yang tertera logo Jakim berada di luar kedai berkenaan.

“Seorang wanita yang dipercayai penyelia syarikat katering terbabit kemudian muncul dan mendakwa mereka memiliki sijil halal Jakim dan tidak perlu diragui.

“Wanita terbabit yang berusia 40-an menunjukkan sijil halal Jakim yang dimasukkan dalam bingkai gambar kepada pegawai Jakim. Namun selepas diteliti, sijil halal terbabit didapati palsu,” katanya.

Menurutnya, sijil halal palsu terbabit jauh berbeza dengan sijil halal Jakim tulen walaupun ia cuba meniru dengan meletakkan nombor siri, cop Jakim dan tandatangan pegawai kanan Jakim.

Katanya, siasatan mendapati sijil halal palsu terbabit dibeli pemiliknya daripada seorang lelaki dipercayai anggota sindiket menjual sijil halal palsu pada harga RM2,500.

“Menyedari sijil halal Jakim mempunyai kepentingan bagi tujuan pemasaran di kalangan pengguna Islam, pemiliknya bersetuju membayar harga ditetapkan,” katanya.

Siasatan seterusnya menemui berpuluh-puluh botol wain, terutama dari China yang diletakkan dalam rak bahan mentah masakan.

“Ketika ditanya, pekerja syarikat terbabit mengaku menggunakan wain yang mengandungi alkohol hingga 18 peratus untuk memerap daging ayam sebelum dimasak.

“Difahamkan, kaedah itu menyebabkan masakan berkenaan lebih lazat seperti kebanyakan resipi dari barat dan China,” kata sumber itu.

Turut ditemui, beberapa tin puding mengandungi kandungan arak jenis `ram.’

“Semua botol arak terbabit diambil untuk siasatan bersama contoh daging lembu, ayam dan kambing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pemilik syarikat yang berusia 50-an itu muncul sekitar jam 1 tengah hari sebelum mendakwa tidak tahu mengenai kewujudan sijil halal palsu itu.

Lelaki berkenaan bagaimanapun akur dengan penerangan dan bentuk kesalahan dilakukannya selepas diberikan penjelasan terperinci oleh pegawai Jakim.

“Mengikut syarat pemberian logo halal Jakim, pengusaha atau pengilang makanan perlu mengikut garis panduan dengan tidak mencampur atau menyimpan produk haram di dalam premis.

“Syarikat bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan sijil halal Jakim sepatutnya membuat permohonan melalui laman web Jakim atau datang sendiri bagi mendapatkan borang permohonan di ibu pejabat Jakim di Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, yang dihubungi Harian Metro, semalam berkata, kes terbabit akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 atas kesalahan berkaitan penggunaan perbahasan halal.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pemilik syarikat katering terbabit boleh didenda RM250,000 bagi syarikat atau RM100,000 kepada individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20071116083221/Article/print_html