Ayam ‘kimia’ undang kanser

Ayam ‘kimia’ undang kanser
Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Terdapat segelintir penternak ayam di negeri ini dipercayai menggunakan sejenis bahan kimia yang diharamkan kepada haiwan ternakan khususnya ayam dan lembu bagi tujuan pembesaran dalam tempoh singkat sebelum dijual.

Bahan kimia yang dikenali sebagai ‘beta agonis’ itu diharamkan Kementerian Kesihatan kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan termasuk penyakit barah.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai membawa bahan itu secara haram ke negara ini melalui sindiket atau individu tertentu bagi mendapatkan keuntungan.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata berdasarkan maklumat diterima, kebiasaannya bahan kimia berkenaan digunakan individu yang menternak babi untuk mempercepatkan pembesaran dan menambah jumlah berat secara luar biasa.

Beliau berkata, dengan bahan itu, penternak dapat menjual babi dalam tempoh singkat manakala timbangan bagi setiap babi melebihi daripada paras biasa sekali gus memberi pulangan lumayan.

[Ad]

“Kini kami mendapati bahan berkenaan digunakan segelintir individu yang menternak ayam bagi membolehkan ternakannya itu cepat membesar sebelum dijual di pasaran.

“Kami bimbang jika tindakan itu benar dilakukan sudah pasti akan memberi kesan tidak baik kepada pengguna kerana bahan kimia berkenaan boleh menyebabkan penyakit kanser dan kronik lain,” katanya, di sini, semalam.

Khairuddin berkata, pihaknya menerima aduan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pengguna baru-baru ini yang meragui aktiviti beberapa penternak ayam kerana dipercayai mereka menggunakan bahan terbabit.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan butiran lanjut SMS berkenaan kerana perkara itu sudah diberitahu kepada jawatankuasa mengenai kesihatan peringkat negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yu Chok Tow.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan diminta memantau keadaan itu bagi memastikan penternak ayam di negeri ini tidak menggunakan bahan kimia berkenaan kepada ternakan mereka.

“Kami bimbang penternak menggunakan bahan kimia itu pada ayam ternakan mereka untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan kepentingan pengguna.

“Kami berharap jabatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan dapat membuat pemantauan dan memastikan bahan kimia itu tidak dibawa masuk ke negeri ini serta dalam masa sama tiada penternak menggunakannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/Setempat/74962/Article/index_html

One thought on “Ayam ‘kimia’ undang kanser

Komentar ditutup.