polis lapor polis

Tuduh-menuduh
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Tiga anggota polis yang bertugas di sebuah balai di Tampin membuat laporan polis sesama sendiri mendakwa masing-masing menerima suapan untuk melindungi kegiatan haram di daerah itu.

Tindakan itu dibuat selepas dipercayai akibat perselisihan faham sesama mereka.

Dalam laporan pertama, seorang anggota polis berpangkat lans koperal dikatakan membuat laporan terhadap dua rakan setugasnya yang berpangkat lebih tinggi dengan mendakwa mereka menerima ‘wang perlindungan’ untuk menjaga kegiatan haram.

Pada hari sama, selepas mengetahui ada laporan polis dibuat, dua anggota itu turut membuat laporan terhadap lans koperal itu mendakwa dia terbabit dengan kegiatan haram lain.

[Ad]

Difahamkan, lans koperal terbabit dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan jual beli barangan terpakai secara haram.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, mengesahkan menerima dua laporan polis daripada kedua-dua pihak.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung laporan itu termasuk jumlah wang diterima dua anggota polis dalam laporan pertama.

“Kami memandang serius laporan itu. Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis tidak boleh memberi sebarang maklumat lanjut kerana ia belum selesai,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga anggota itu masih bertugas seperti biasa dan tiada tindakan diambil terhadap mereka sehingga siasatan selesai.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika terdapat bukti yang mengesahkan mereka menerima suapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Badan Pencegahan Rasuah (BPR) negeri, Roszaini Abu, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

http://www.hmetro.com.my/Friday/Setempat/20080711093406/Article/index_html