CCTV gagal rakam kejadian curi motor

CCTV gagal rakam kejadian curi motor

Hmetro Rabu, 23 Julai 2008

KUALA LUMPUR: Pelik dan sukar dijelaskan bagaimana kamera litar tertutup (CCTV) canggih yang dipasang di hadapan pekarangan Istana Budaya di sini, gagal untuk merakam kejadian kecurian sebuah motosikal milik seorang wartawan yang diletakkan hampir empat jam di kawasan berkenaan.

Malah, lebih aneh apabila rakaman CCTV yang ditayangkan semula kepada mangsa turut mendapati mangsa dan motosikalnya bagaikan tidak pernah wujud di kawasan terbabit pada hari kejadian.

Mangsa, Azrul Affandi Sobry, 29 tahun, berkata, dia terkejut apabila rakaman CCTV itu tidak menunjukkan kehadirannya di kawasan terbabit pada jam 11.05 pagi.

Menurutnya, dia seolah-olah makhluk ‘halimunan’ berikutan motosikal model Yahama 125ZR yang dinaiki tidak menunjukkan kelibat walau sesaat di kawasan meletak motosikal berhampiran tangga utama Istana Budaya.

[Ad]

“Malah, pencuri yang melarikan motosikal saya itu turut gagal dirakamkan CCTV ‘unik’ terbabit yang sepatutnya dijadikan bukti untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.05 pagi Rabu lalu, dia datang ke Istana budaya untuk bertemu dengan pegawai perhubungan Istana Budaya atas urusan kerja dan liputan penulisan berkaitan teknologi kreatif.

“Sebaik menghabiskan tugas pada jam 3.10 petang, saya bercadang untuk kembali semula ke pejabat di Bangsar. Namun, saya terkejut apabila mendapati motosikal saya tiada di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, dia mencari motosikalnya di kawasan berhampiran sebelum memaklumkannya kepada pihak perhubungan awam Istana Budaya.

Kehilangan motosikal terbabit membuatkan mangsa panik berikutan ia digunakan setiap hari bagi urusan kerja.

“Saya dibawa ke bilik kawalan CCTV yang diselenggara beberapa pengawal keselamatan bagi melihat rakaman berhubungan kejadian kecurian motosikal itu.

“Apa yang menghairankan apabila rakaman CCTV yang diulang tayang semula kepada saya antara jam 10.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari langsung tidak menunjukkan kelibat saya muncul di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, rakaman itu hanya menunjukkan motosikal lain dan kereta yang lalu lalang manakala dia dan motosikalnya itu tidak ada dalam rakaman.