Tinggal dalam reban

Tinggal dalam reban

KUALA LIPIS: Akibat dihimpit kemiskinan selain hidup sebatang kara, seorang wanita warga emas berusia 57 tahun terpaksa tinggal dalam sebuah reban ayam di Desa Jeram Batu, di sini, sejak empat tahun lalu.

Menurut Shamsiah Samat, dia tiada pilihan selain menetap dalam reban sempit dan daif itu selepas rumah setinggan dibina arwah bapanya, Samat Mohamad di tanah rizab kerajaan berhampiran Pahang Club House, di sini, roboh lapan tahun lalu akibat terlalu uzur.

Dia yang masih belum berkahwin, berkata arwah bapanya yang juga bekas pemandu trak di sebuah agensi kerajaan membina sebuah rumah rakit selepas bersara pada tahun 60-an.

“Bagaimanapun, kediaman itu rosak ketika banjir besar melanda seluruh Pahang pada 1971.
“Kemudian arwah bapa membina sebuah rumah berhampiran Pahang Club House sebelum ia roboh kerana sudah terlalu lama,” katanya ketika ditemui.[Ad]

Shamsiah berkata, sepanjang menetap di kawasan berkenaan, arwah bapanya pernah memohon mendapatkan lesen penempatan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah Lipis, namun permohonan mendapatkan tanah kerajaan itu tidak diluluskan sehingga lelaki itu meninggal dunia pada 1993 ketika berusia 98 tahun.

“Selepas rumah setinggan itu roboh, saya menumpang berteduh di rumah saudara-mara lain. Mulanya, mereka menawarkan tempat tinggal percuma dan boleh menetap seberapa lama.

“Namun, lama-kelamaan mereka menuntut bayaran sewa dan kerana tidak mempunyai wang, saya diminta keluar,” katanya yang tidak mempunyai adik-beradik.

Katanya sejak peristiwa dihalau itu, dia menjadikan reban ayam di tebing Sungai Jelai yang disewa RM50 sebulan sebagai kediaman.

“Saya tiada pilihan lain, sudahlah dihalau saudara-mara, permohonan TOL juga tidak diluluskan walaupun beberapa kali memohon,” katanya.

“Malah, saya juga beberapa kali memohon mendapatkan rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi gagal kerana dimaklumkan saya tiada tapak rumah selain bukan tergolong dalam kumpulan ibu tunggal.

“Mujurlah pemilik reban ayam itu memahami masalah saya dan bertolak-ansur apabila kadang-kadang tidak mengutip bayaran sewa,” katanya.

Bagi menampung hidup, Shamsiah bekerja sebagai pembantu kedai di bandar ini dengan pendapatan RM13 sehari. Setiap hari dia akan keluar bekerja seawal jam 7 pagi dengan berjalan kaki dan balik kira-kira jam 8 malam.

Shamsiah juga menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan tetapi dia mendakwa pemberian itu tidak menentu, adakalanya tidak dapat.

Malah, dia juga menerima bantuan RM1,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2006 dan menggunakan wang itu untuk memelihara ayam.

“Dalam meniti usia yang semakin lanjut ini, saya berharap dapat tinggal di sebuah rumah yang selesa dan lengkap dengan kemudahan asas. Saya tidak mengharap rumah yang besar, cukuplah tempat berteduh daripada panas dan hujan,” katanya.

“Saya memperoleh pendapatan purata bulanan kira-kira RM300 hingga RM350 dan jumlah itu tidak memadai dengan kos sara hidup sekarang.

“Saya juga tidak dapat menjual ayam kerana ternakan itu banyak hilang. Kehidupan saya banyak derita, namun saya lalui juga dengan tabah dan berharap ada pihak yang simpati dengan nasib saya,” katanya.

Katanya, dia tidak memiliki perabot dalam reban ayam itu kecuali sebiji bantal dan tikar serta sedikit pakaian lusuh. Dia juga mendakwa reban ayam itu juga akan dinaiki air separas pinggang apabila paras air sungai meningkat setiap kali hujan lebat.

Berikutan itu, Shamsiah yang terpaksa berhenti belajar setakat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Clifford akibat masalah kewangan berharap permohonannya mendapatkan kediaman lebih selesa berjaya sebelum menutup mata.

“Dalam meniti usia yang semakin lanjut ini, saya berharap dapat tinggal di sebuah rumah yang selesa dan lengkap dengan kemudahan asas. Saya tidak mengharap rumah yang besar, cukuplah tempat berteduh daripada panas dan hujan.

http://www.hmetro.com.my/Monday/Setempat/20080811093430/Article/index_html

One thought on “Tinggal dalam reban

Komentar ditutup.