CCTV gagal rakam kejadian curi motor

CCTV gagal rakam kejadian curi motor

Hmetro Rabu, 23 Julai 2008

KUALA LUMPUR: Pelik dan sukar dijelaskan bagaimana kamera litar tertutup (CCTV) canggih yang dipasang di hadapan pekarangan Istana Budaya di sini, gagal untuk merakam kejadian kecurian sebuah motosikal milik seorang wartawan yang diletakkan hampir empat jam di kawasan berkenaan.

Malah, lebih aneh apabila rakaman CCTV yang ditayangkan semula kepada mangsa turut mendapati mangsa dan motosikalnya bagaikan tidak pernah wujud di kawasan terbabit pada hari kejadian.

Mangsa, Azrul Affandi Sobry, 29 tahun, berkata, dia terkejut apabila rakaman CCTV itu tidak menunjukkan kehadirannya di kawasan terbabit pada jam 11.05 pagi.

Menurutnya, dia seolah-olah makhluk ‘halimunan’ berikutan motosikal model Yahama 125ZR yang dinaiki tidak menunjukkan kelibat walau sesaat di kawasan meletak motosikal berhampiran tangga utama Istana Budaya.
Teruskan membaca

Rantai tangkal iblis

Rantai tangkai iblis
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nor Azura Abdul Jalil
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ia digelar rantai tangkai iblis, tetapi segelintir Mat Rempit yang gila fesyen kini gemar memakainya kerana percaya mereka boleh menjadi kebal.

Rantai mirip kalimah Allah dengan ditambah lambang serampang syaitan itu dijual pada harga sekitar RM15 hingga RM20 satu.

Mat Rempit, terutama remaja, percaya rantai itu dapat memberi keberanian luar biasa selain pendinding daripada kecederaan jika terbabit kemalangan.

Kegilaan terhadap tangkal itu mula menular selepas khabar angin berhubung kewujudannya tersebar dari mulut ke mulut sebelum ia menjadi buruan segelintir kaki lumba motosikal itu.

Mufti Kerajaan Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diminta pendapatnya ketika ditemui Harian Metro semalam terkejut berhubung kewujudan rantai tangkal yang mempunyai tulisan seakan kalimah Allah itu.

Menurutnya, umat Islam yang memakai rantai seperti itu boleh dianggap syirik kerana menyekutukan Allah.

“Apa juga jenis perhiasan di tubuh yang mempunyai kalimah Allah tidak boleh dipakai…inikan pula kalimah bercanggah dengan kalimah sebenar.

“Sekali imbas memang rantai itu nampak seperti kalimah Allah, tetapi jika diperhatikan betul-betul, ia menyerupai lambang agama lain,” katanya.

Katanya, rantai berkenaan secara terang-terangan mempersenda agama Islam dan beliau menasihati orang ramai, terutama umat Islam supaya tidak memakainya.

Peniaga pula dinasihati menghentikan penjualan rantai itu untuk mengelakkan kekeliruan.

“Haram bagi peniaga Islam menjual rantai terbabit dan sekiranya rantai itu masih lagi dalam simpanan, pihak berkuasa patut mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Harian Metro mengesan kewujudan rantai itu melalui pendedahan seorang ‘Mat Rempit’ remaja yang mahu dikenali sebagai Yus, 19.

Menurut Yus, rantai terbabit dijual di beberapa gerai menjual produk aksesori dan pakaian sekitar ibu kota, terutama di Jalan Silang dan Bukit Bintang.

“Kebanyakan ‘Mat Rempit’ remaja yang membelinya menyangka ia kalimah Allah tanpa menyedari rantai tangkal iblis itu menyeret mereka ke arah dosa besar.

“Biasanya ada antara kami memakainya untuk suka-suka seperti golongan penganut Kristian yang memakai salib. Namun, tiada seorang pun daripada kami menyedari rantai berkenaan dihasilkan khusus untuk menyesatkan golongan belia Islam.

“Kami biasanya mudah tertarik kepada fesyen seperti jenama baju, seluar, topi dan kasut hingga kepada fesyen rambut serta aksesori rantai. Mungkin minat terhadap benda sebegini menyebabkan kami mudah terjurumus perbuatan syirik,” katanya.

Dia pernah menemankan seorang rakan membeli rantai terbabit dari sebuah kedai di tingkat satu Kompleks Kota Raya minggu lalu.

Selepas tawar menawar, mereka dapat membeli rantai itu pada harga RM15 daripada peniaga wanita bukan Islam.

Rakannya terus memakainya dengan bangga kerana menyangka ia simbol kalimah Allah.

“Bagaimanapun, seorang peniaga berhampiran Bandar Tun Razak yang terserempak ketika kami minum lalu menasihatkan kami supaya menanggalkannya kerana didakwa berdosa.

“Sejak itu kami sedar ia salah dan berdosa sebelum mengambil keputusan membuangnya,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro menunjukkan contoh rantai tangkal berkenaan.

Menurut Yus, dia bimbang ramai rakannya yang cetek agama masih memakai rantai berkenaan kerana beranggapan ia menonjolkan ciri kumpulan ‘Mat Motor’ yang dianggotai mereka.

“Saya mengaku ramai antara kami tidak pernah bersembahyang…jauh sekali mendekati masjid. Malah, ramai yang pernah terbabit seks bebas dan arak atau dadah,” katanya.

Yus yang bekerja sebagai penghantar makanan segera secara sambilan mendakwa beberapa kali cuba kembali ke pangkal jalan, namun sering termakan pujukan rakan agar kembali terpesong ke jalan yang tidak diredai.

Dia cuma harap pendedahannya berhubung rantai itu sedikit sebanyak dapat memelihara akidah sebahagian daripada golongan sepertinya yang jahil agama.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20080320085827/Article/index_html