Rantai tangkal iblis

Rantai tangkai iblis
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nor Azura Abdul Jalil
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ia digelar rantai tangkai iblis, tetapi segelintir Mat Rempit yang gila fesyen kini gemar memakainya kerana percaya mereka boleh menjadi kebal.

Rantai mirip kalimah Allah dengan ditambah lambang serampang syaitan itu dijual pada harga sekitar RM15 hingga RM20 satu.

Mat Rempit, terutama remaja, percaya rantai itu dapat memberi keberanian luar biasa selain pendinding daripada kecederaan jika terbabit kemalangan.

Kegilaan terhadap tangkal itu mula menular selepas khabar angin berhubung kewujudannya tersebar dari mulut ke mulut sebelum ia menjadi buruan segelintir kaki lumba motosikal itu.

Mufti Kerajaan Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diminta pendapatnya ketika ditemui Harian Metro semalam terkejut berhubung kewujudan rantai tangkal yang mempunyai tulisan seakan kalimah Allah itu.

Menurutnya, umat Islam yang memakai rantai seperti itu boleh dianggap syirik kerana menyekutukan Allah.

“Apa juga jenis perhiasan di tubuh yang mempunyai kalimah Allah tidak boleh dipakai…inikan pula kalimah bercanggah dengan kalimah sebenar.

“Sekali imbas memang rantai itu nampak seperti kalimah Allah, tetapi jika diperhatikan betul-betul, ia menyerupai lambang agama lain,” katanya.

Katanya, rantai berkenaan secara terang-terangan mempersenda agama Islam dan beliau menasihati orang ramai, terutama umat Islam supaya tidak memakainya.

Peniaga pula dinasihati menghentikan penjualan rantai itu untuk mengelakkan kekeliruan.

“Haram bagi peniaga Islam menjual rantai terbabit dan sekiranya rantai itu masih lagi dalam simpanan, pihak berkuasa patut mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Harian Metro mengesan kewujudan rantai itu melalui pendedahan seorang ‘Mat Rempit’ remaja yang mahu dikenali sebagai Yus, 19.

Menurut Yus, rantai terbabit dijual di beberapa gerai menjual produk aksesori dan pakaian sekitar ibu kota, terutama di Jalan Silang dan Bukit Bintang.

“Kebanyakan ‘Mat Rempit’ remaja yang membelinya menyangka ia kalimah Allah tanpa menyedari rantai tangkal iblis itu menyeret mereka ke arah dosa besar.

“Biasanya ada antara kami memakainya untuk suka-suka seperti golongan penganut Kristian yang memakai salib. Namun, tiada seorang pun daripada kami menyedari rantai berkenaan dihasilkan khusus untuk menyesatkan golongan belia Islam.

“Kami biasanya mudah tertarik kepada fesyen seperti jenama baju, seluar, topi dan kasut hingga kepada fesyen rambut serta aksesori rantai. Mungkin minat terhadap benda sebegini menyebabkan kami mudah terjurumus perbuatan syirik,” katanya.

Dia pernah menemankan seorang rakan membeli rantai terbabit dari sebuah kedai di tingkat satu Kompleks Kota Raya minggu lalu.

Selepas tawar menawar, mereka dapat membeli rantai itu pada harga RM15 daripada peniaga wanita bukan Islam.

Rakannya terus memakainya dengan bangga kerana menyangka ia simbol kalimah Allah.

“Bagaimanapun, seorang peniaga berhampiran Bandar Tun Razak yang terserempak ketika kami minum lalu menasihatkan kami supaya menanggalkannya kerana didakwa berdosa.

“Sejak itu kami sedar ia salah dan berdosa sebelum mengambil keputusan membuangnya,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro menunjukkan contoh rantai tangkal berkenaan.

Menurut Yus, dia bimbang ramai rakannya yang cetek agama masih memakai rantai berkenaan kerana beranggapan ia menonjolkan ciri kumpulan ‘Mat Motor’ yang dianggotai mereka.

“Saya mengaku ramai antara kami tidak pernah bersembahyang…jauh sekali mendekati masjid. Malah, ramai yang pernah terbabit seks bebas dan arak atau dadah,” katanya.

Yus yang bekerja sebagai penghantar makanan segera secara sambilan mendakwa beberapa kali cuba kembali ke pangkal jalan, namun sering termakan pujukan rakan agar kembali terpesong ke jalan yang tidak diredai.

Dia cuma harap pendedahannya berhubung rantai itu sedikit sebanyak dapat memelihara akidah sebahagian daripada golongan sepertinya yang jahil agama.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20080320085827/Article/index_html

Advertisements

RM46.49 = 6 bulan penjara

Dijel curi susu tepung

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri susu tepung menguatkan tulang untuk diberikan kepada ibunya, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mohamad Zul Nasir Mohamad Sharif, 38, mengaku salah atas dakwaan mencuri susu tepung untuk diberikan kepada ibunya yang tua.

Selain susu tepung, tertuduh didapati mencuri coklat dan setin minuman yang bernilai RM46.49 di Pasaraya Uda Ocean, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada jam 5.20 petang, 13 Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zul Husni gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan polis dan dia didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1990, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Shamsul Akma Basiron meminta tertuduh dikenakan hukuman berat kerana mempunyai tujuh kesalahan lampau.

Menurutnya, Mohamad Zul Husni terbabit dengan kes curi dalam bangunan dan memiliki heroin antara 1991 hingga 2004.

Mengikut fakta kes, seorang detektif pusat beli-belah Uda Ocean Jalan Tuanku Abdul Rahman, melihat tertuduh mengambil barang dan memasukkan ke dalam beg hitam.

Curiga dengan kelakuan tertuduh, pengadu mengekori tertuduh hingga ke luar premis itu sebelum menahannya kerana gagal membuat pembayaran.

Berikutan itu, tertuduh di bawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan berhubung kes berkenaan.

Majistret Tasnim Abu Bakar memerintah tertuduh dihukum penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan tiga bulan untuk kesalahan kedua.

Bagaimanapun, tertuduh dihukum penjara enam bulan kerana kedua pertuduhan itu berjalan serentak bermula semalam.

komen – kalau kawan kita ni pergi bilik gerakan be en senang saja dapat rm100.

Dilema lelaki baru melakukan hubungan sex

Dilema lelaki baru

CEPAT klimaks menjadi dilema kebanyakan lelaki yang baru mulakan hubungan keintiman seksual. Mereka boleh mencapai ereksi dan mudah melakukan seks penetratif, tetapi kurang daya kawalan rangsangan dan selalu klimaks apabila perasaan ghairah tercetus, tidak dapat mengawal atau meredakan perasaan hendak klimaks.

Sebilangan lelaki dapat mengawal ejakulasi selepas dapat mengenali rentak gerakan dan keghairahan. Ada juga yang dapat mengekalkan ereksi walaupun selepas mencapai ejakulasi.

Mereka yang gagal mengatasi masalah cepat klimaks akan terus dihantui dilema itu dan cuba sedaya upaya menanganinya dengan apa cara, termasuk yang berisiko tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan mereka serta pasangan.

Teknik bersetubuh yang dapat melambatkan ejakulasi ialah apabila lelaki memasukkan ereksi sampai habis serta melakukan tarikan dan tolakan pendek iaitu kemasukan ereksi secara tusukan.

Cara tusukan memberi tekanan kepada penghujung ereksi dan ini mempercepatkan klimaks. Cara tarik dan sorong pendek memberi tekanan kepada pangkal zakar yang tidak sensitif seterusnya dapat mengawal ejakulasi cepat.

Ketika melakukan gerakan pendek dalam dan luar, ia perlu dilakukan dengan anggota sulit dalam keadaan otot lubang kencing dan lubang najis mengemut.

Maksudnya, melakukan gerakan ereksi dalam keadaan kemut, yang mana ini dapat memberi kekuatan kepada ereksi.

Cara lain yang dapat membantu memastikan ejakulasi terkawal adalah menggesel bahagian ereksi yang kurang sensitif, iaitu bahagian pangkal zakar ke langit faraj (langit faraj wanita membabitkan G-Spot yang boleh mencetuskan klimaks jika bahagian itu terangsang).

Kawal gerakan supaya tidak keluar daripada kawalan klimaks dan jika hendakkan klimaks, percepatkan hayunan sambil klimaks dan teruskan hayunan dengan kemutan. Hasilnya kedua-dua merasai nikmat hubungan seksual secara maksimum!

Kaedah itu dikenali sebagai ‘coital alignment’ atau hubungan bersepadu! Bukan senang mengamalkannya kerana kadangkala gagal juga! Bagaimanapun, lama-kelamaan anda menjadi biasa dan lebih cekap.

Jika mahu menggunakan ubat tambahan, saya syorkan anda rujuk doktor keluarga untuk mendapat pandangan dan nasihat atau membeli ubat untuk kesihatan di farmasi daripada ahli farmasi.

Jangan percaya pengedar jualan langsung yang menjual ubat kuat, selain memastikan ubat itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KK).

Anda juga perlu berhati-hati dengan ubat kuat yang mendapat kelulusan KK tetapi mengandungi ubat larangan. Sebilangan besar syarikat penjualan ubat kuat memasukkan ubat larangan selepas mendapat pendaftaran KK.

Jika anda terasa luar biasa selepas mencuba ubat kuat atau mendapat ereksi tanpa dirangsang, berkemungkinan ada ubat larangan dalam ramuan herba itu.

Berwaspada, setakat ini tiada ubat atau krim atau apa-apa bahan makan dapat membesarkan zakar.

metro

Awas pengemar belacan

Pewarna pakaian bancuh belacan
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

MELAKA: Sebuah kilang memproses belacan terkenal di negeri ini dipercayai menggunakan pewarna yang hanya digunakan untuk mewarna pakaian supaya belacan dan cencaluk keluaran syarikatnya kelihatan menarik.

Tindakan kilang di Batu Berendam itu menggunakan pewarna pakaian terbongkar selepas diserbu Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Mulanya, serbuan itu hanya membabitkan penggunaan logo halal secara haram.

Bagaimanapun, selepas disiasat pada satu bahagian dalam kilang itu, pihak berkuasa menemui tempat mengadun bahan membuat belacan yang mempunyai campuran bersama kiub berwarna merah jambu.

Pemeriksaan lanjut mendapati kiub itu tertera perkataan ‘bahan pewarna bukan untuk mewarnakan makanan’ serta terdapat beberapa kotak besar berisi ratusan pewarna dalam kiub bersaiz 8 x 6 sentimeter bersebelahan dengan tempat mengadun belacan itu.

Hasil penemuan mengejutkan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dihubungi bagi menjalankan siasatan.

Wakil Jabatan Kesihatan yang ditemui bagaimanapun enggan mengulas mengenai penemuan pewarna berkenaan.

Pegawai serta anggota jabatan terbabit dilihat mengambil beberapa sampel daripada belacan dan cencaluk keluaran syarikat berkenaan untuk dianalisis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaim, Shafiee Abd Wahab, berkata pemeriksaan terhadap lebih enam sampel produk yang dikeluarkan syarikat terbabit didapati menggunakan logo halal Jakim secara haram.

Katanya, antara bahan makanan yang dirampas ialah pelbagai jenis belacan, cencaluk, sotong jeruk dan dodol durian.

“Sejumlah 500 jenis sampel yang bernilai lebih RM1,000 dirampas KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Mengikut rekod syarikat terbabit tidak pernah memohon untuk mendapatkan sijil halal Jakim atau Jaim,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Operasi bersepadu itu bermula kira-kira jam 12 tengah hari disertai 15 pegawai serta anggota daripada agensi kerajaan terbabit.

Difahamkan, premis berkenaan pernah diserbu pada awal tahun lalu kerana kesalahan sama menggunakan logo halal secara haram.

Shafiee berkata, kes itu diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 18 (1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo halal secara haram.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya

Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro yang menyertai serbuan itu mendapati bahan mentah untuk membuat belacan dan cencaluk diadun di atas lantai sebelum mesin digunakan.

Bahan mentah belacan dan cencalok itu disimpan dalam guni yang dimasukkan di peti ais besar bersama ayam serta bahan lain yang meragukan.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/Setempat/20080130090937/Article/index_html

Ayam ‘kimia’ undang kanser

Ayam ‘kimia’ undang kanser
Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Terdapat segelintir penternak ayam di negeri ini dipercayai menggunakan sejenis bahan kimia yang diharamkan kepada haiwan ternakan khususnya ayam dan lembu bagi tujuan pembesaran dalam tempoh singkat sebelum dijual.

Bahan kimia yang dikenali sebagai ‘beta agonis’ itu diharamkan Kementerian Kesihatan kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan termasuk penyakit barah.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai membawa bahan itu secara haram ke negara ini melalui sindiket atau individu tertentu bagi mendapatkan keuntungan.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata berdasarkan maklumat diterima, kebiasaannya bahan kimia berkenaan digunakan individu yang menternak babi untuk mempercepatkan pembesaran dan menambah jumlah berat secara luar biasa.

Beliau berkata, dengan bahan itu, penternak dapat menjual babi dalam tempoh singkat manakala timbangan bagi setiap babi melebihi daripada paras biasa sekali gus memberi pulangan lumayan.

[Ad]

“Kini kami mendapati bahan berkenaan digunakan segelintir individu yang menternak ayam bagi membolehkan ternakannya itu cepat membesar sebelum dijual di pasaran.

“Kami bimbang jika tindakan itu benar dilakukan sudah pasti akan memberi kesan tidak baik kepada pengguna kerana bahan kimia berkenaan boleh menyebabkan penyakit kanser dan kronik lain,” katanya, di sini, semalam.

Khairuddin berkata, pihaknya menerima aduan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pengguna baru-baru ini yang meragui aktiviti beberapa penternak ayam kerana dipercayai mereka menggunakan bahan terbabit.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan butiran lanjut SMS berkenaan kerana perkara itu sudah diberitahu kepada jawatankuasa mengenai kesihatan peringkat negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yu Chok Tow.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan diminta memantau keadaan itu bagi memastikan penternak ayam di negeri ini tidak menggunakan bahan kimia berkenaan kepada ternakan mereka.

“Kami bimbang penternak menggunakan bahan kimia itu pada ayam ternakan mereka untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan kepentingan pengguna.

“Kami berharap jabatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan dapat membuat pemantauan dan memastikan bahan kimia itu tidak dibawa masuk ke negeri ini serta dalam masa sama tiada penternak menggunakannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/Setempat/74962/Article/index_html

Daging perisa wain

Daging perisa wain
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Memeranjatkan apabila sebuah syarikat katering terkenal yang kerap mendapat tempahan daripada pelanggan elit, termasuk bergelar Datuk dan Tan Sri, dikesan mencampurkan pelbagai jenis wain dalam masakan seperti hidangan ayam dan daging bagi menambah keenakannya.

Syarikat itu yang mendakwa mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipercayai menggunakan pelbagai jenis wain dari China sebagai sebahagian resipi utama untuk memerap ayam dan daging.

Syarikat terbabit memperdaya pelanggan dengan berselindung di sebalik logo halal Jakim palsu yang dibeli daripada sindiket pada harga RM2,500.

Kegiatan itu dibongkar apabila sepasukan empat pegawai penguat kuasa Jakim dan dua pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, melakukan serbuan mengejut di kedai terbabit di Jalan Klang Lama di sini, pagi semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, pegawai Jakim dan KPDNHEP Wilayah Persekutuan memasuki kedai dua tingkat itu yang dijadikan pusat penyediaan bahan mentah dan memasak makanan yang ditempah pelanggan.

[Ad]

Sumber KPDNHEP berkata, ketika serbuan, beberapa pekerja bukan Islam, termasuk wanita warga asing sedang sibuk memasak pelbagai masakan di tempat yang kotor dan menjijikkan.

Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai Jakim turut mendapati tiga lori milik syarikat terbabit yang tertera logo Jakim berada di luar kedai berkenaan.

“Seorang wanita yang dipercayai penyelia syarikat katering terbabit kemudian muncul dan mendakwa mereka memiliki sijil halal Jakim dan tidak perlu diragui.

“Wanita terbabit yang berusia 40-an menunjukkan sijil halal Jakim yang dimasukkan dalam bingkai gambar kepada pegawai Jakim. Namun selepas diteliti, sijil halal terbabit didapati palsu,” katanya.

Menurutnya, sijil halal palsu terbabit jauh berbeza dengan sijil halal Jakim tulen walaupun ia cuba meniru dengan meletakkan nombor siri, cop Jakim dan tandatangan pegawai kanan Jakim.

Katanya, siasatan mendapati sijil halal palsu terbabit dibeli pemiliknya daripada seorang lelaki dipercayai anggota sindiket menjual sijil halal palsu pada harga RM2,500.

“Menyedari sijil halal Jakim mempunyai kepentingan bagi tujuan pemasaran di kalangan pengguna Islam, pemiliknya bersetuju membayar harga ditetapkan,” katanya.

Siasatan seterusnya menemui berpuluh-puluh botol wain, terutama dari China yang diletakkan dalam rak bahan mentah masakan.

“Ketika ditanya, pekerja syarikat terbabit mengaku menggunakan wain yang mengandungi alkohol hingga 18 peratus untuk memerap daging ayam sebelum dimasak.

“Difahamkan, kaedah itu menyebabkan masakan berkenaan lebih lazat seperti kebanyakan resipi dari barat dan China,” kata sumber itu.

Turut ditemui, beberapa tin puding mengandungi kandungan arak jenis `ram.’

“Semua botol arak terbabit diambil untuk siasatan bersama contoh daging lembu, ayam dan kambing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pemilik syarikat yang berusia 50-an itu muncul sekitar jam 1 tengah hari sebelum mendakwa tidak tahu mengenai kewujudan sijil halal palsu itu.

Lelaki berkenaan bagaimanapun akur dengan penerangan dan bentuk kesalahan dilakukannya selepas diberikan penjelasan terperinci oleh pegawai Jakim.

“Mengikut syarat pemberian logo halal Jakim, pengusaha atau pengilang makanan perlu mengikut garis panduan dengan tidak mencampur atau menyimpan produk haram di dalam premis.

“Syarikat bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan sijil halal Jakim sepatutnya membuat permohonan melalui laman web Jakim atau datang sendiri bagi mendapatkan borang permohonan di ibu pejabat Jakim di Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, yang dihubungi Harian Metro, semalam berkata, kes terbabit akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 atas kesalahan berkaitan penggunaan perbahasan halal.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pemilik syarikat katering terbabit boleh didenda RM250,000 bagi syarikat atau RM100,000 kepada individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20071116083221/Article/print_html

Tikam mekanik lambat baiki motosikal

KUALA TERENGGANU: Gara-gara terlalu marah kerana motosikal dihantar ke sebuah bengkel di Kampung Kuala Belara, di sini, tidak dibaiki, seorang lelaki mengamuk dan menikam seorang mekanik muda, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek dikatakan pergi ke bengkel berkenaan dan berang apabila melihat motosikalnya yang dihantar belum dibaiki.

Berikutan itu, suspek dikatakan terus mencari mangsa yang sedang tidur seorang diri di rumahnya lalu terus mengeluarkan sebilah pisau dan menikam lengan kanan serta kaki kiri mangsa.

Ketika kejadian, mangsa, Norhisham Ali, 13, yang sudah tidak bersekolah dikatakan sedang tidur di ruang tamu ketika suspek datang menyerang sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Menurut kakak ipar mangsa yang berusia 36 tahun, suspek dikatakan begitu marah apabila mendapati motosikalnya yang dihantar tiga hari lalu masih belum dibaiki.

“Saya kemudian membawa adik ipar ke HSNZ untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Wanita itu membuat laporan kejadian itu di pondok polis HSNZ, kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Manan Alwi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian itu dan sedang mengesan suspek yang dipercayai berasal dari kampung sama.

http://www.hmetro.com.my/Monday/Setempat/71527/Article/print_html